Friday, January 15, 2010

Seperti Kotoran Minyak Yang Membakar Muka

21. Demikianlah Kami perlihatkan kepada mereka, supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah sebenar-benarnya dan bahawa hari kiamat tidak ada keraguan padanya. Ketika mereka berbantah-bantah sesamanya tentang urusan pemuda-pemuda itu ; lalu mereka berkata : Perbuatlah bangunan diatas gua mereka ! Tuhan kamu lebih mengetahui tentang hal mereka. Berkata orang-orang yang menang dalam urusan pemuda-pemuda itu : Kami akan perbuat sebuah masjid diatas mereka itu.

22. Nanti orang-orang yang berbantah-bantah itu tiga orang, yang keempat anjing mereka, diantaranya mengatakan lima orang dan keenam anjing mereka, sebagai meramalkan barang yang ghaib. Setengahnya mengatakan tujuh orang, kelapan anjing mereka. Katakanlah : Tuhanku lebih mengetahui berapa bilangan mereka. Tiada yang mengetahui mereka itu, melainkan sedikit sahaja. Sebab itu janganlah engkau bertengkar-tengkar tentang hal mereka, kecuali pertengkaran dilahir sahaja dan jangan pula bertanya kepada salah seorang diantara mereka itu.

23. Janganlah engkau mengatakan tentang sesuatu urusan : Besok hari saya kerjakan itu,

24. Melainkan jika dikehendaki Allah. Ingatlah Tuhanmu, jika engkau lupa ; dan katakanlah : Mudah-mudahan Tuhanku menunjukiku dengan petunjuk kepada yang lebih dekat kepada kebenaran daripada ini.

25. Mereka itu diam dalam gua tiga ratus tahun lamanya dan bertambah lagi sembilan tahun.

26. Katakanlah : Allah lebih mengetahui berapa lama pemuda-pemuda itu diam dalam gua itu. BagiNya yang ghaib dilangit dan dibumi. Alangkah penglihatanNya dan alangkah pendengaranNya! Tak ada bagi mereka wali, selain daripadaNya dan tiada bersekutu dengan seorang juapun tentang hukumNya.

27. Bacakanlah apa-apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu kitab Tuhanmu. Tiada yang mengubah kalimatNya dan engkau tiada memperoleh tempat berlindung, selain daripadaNya.

28. Sabarkanlah hatimu serta orang-orang yang menyembah Tuhannya pada pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan Allah ; dan janganlah engkau palingkan pemandangan daripada mereka, kerana menghendaki perhiasan hidup didunia. Janganlah engkau turut orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari mengingati Kami dan mengikut hawa nafsunya ; dan adalah perbuatannya melebihi batas.

29. Katakanlah : Kebenaran itu daripada Tuhanmu. Barang siapa yang mahu hendaklah beriman dan barang siapa yang mahu hendaklah engkar. Sesungguhnya telah Kami sediakan untuk orang-orang zalim neraka, sedang mereka itu dilingkari oleh dindingnya. Jika mereka minta tolong, dituangi dengan air seperti kotoran minyak yang membakar muka, sejahat-jahat minuman sekeji-keji tempat.

30. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan yang baik-baik, Kami tiada akan mensia-siakan pahala orang yang membaikkan amalnya.

surat Al-Kahfi

No comments:

Post a Comment