Tuesday, June 16, 2009

Harta Orang-Orang Safih

1. Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu dan menjadikan isteri daripadanya ; dan daripada keduanya berkembang biak laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan namaNya , dan silaturahmi. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.

2. Berikanlah kepada anak-anak yatim hartanya dan janganlah kamu tukarkan yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka bersama harta kamu. Sesungguhnya memakan harta anak-anak yatim itu suatu dosa yang besar.

3. Jika kamu takut, bahawa kamu tak akan berlaku adil tentang anak-anak yatim, maka kahwinilah olehmu perempuan-perempuan yang baik bagimu, berdua, bertiga atau berempat orang. Tetapi jika kamu takut , bahawa tiada akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja, atau pakailah hamba sahaya. Yang demikian itu lebih dekat kepada tiada aniaya.

4. Berikanlah kepada perempuan-perempuan maskahwinnya, sebagai satu pemberian. Jika perempuan-perempuan itu orang baik hati, mahu merelakan sebahagian daripadanya, makanlah olehmu dengan baik dan senang.

5. Janganlah kamu berikan harta orang-orang safih kepadanya, sedangkan Allah menjadikan kamu untuk memeliharakannya dan berikanlah belanja dan pakaian untuk mereka daripada hartanya itu, serta katakanlah kepadanya perkataan yang baik.

6. Ujilah olehmu anak-anak yatim itu, sehingga sampai umurnya. Jika kamu menganggap mereka itu telah berakal, berikanlah harta itu kepadanya. Janganlah kamu makan harta itu dengan berlebih-lebihan dan bersegera, kerana khuatir mereka menjadi orang dewasa. Barang siapa yang kaya, hendaklah dia menahan dirinya dan barang siapa yang miskin, hendaklah dia memakan harta itu secara patut. Apabila kamu membayarkan harta mereka itu kepadanya, hendaklah kamu persaksikan dan cukuplah Allah untuk mengiranya.

7. Untuk laki-laki ada bahagian daripada peninggalan ibubapa dan karib-karib yang terdekat ; dan untuk perempuan-perempuan ada bahagian pula daripada peninggalan ibubapa dan karib yang terdekat, baik sedikit ataupun banyak, sebagai bahagian yang telah ditetapkan.

8. Apabila datang waktu pembahagian pusaka karib-karib, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, berilah mereka itu dengan sekadarnya dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik.

9. Hendaklah mereka takut, jika sekiranya mereka meninggalkan anak-anak yang masih lemah dibelakangnya, takut akan terlantar anak-anak itu, maka hendaklah mereka takut kepada Allah dan berkata dengan perkataan yang betul.

10. Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan zalim, hanya mereka memakan api masuk perutnya dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

surat An-Nisaak

No comments:

Post a Comment