231. Apabila kamu mentalak perempuan, lalu hampir habis idahnya, maka tahanlah mereka secara makruf, atau ceraikanlah mereka secara makruf. Janganlah kamu tahan mereka dengan kemelaratan , kerana kamu hendak menzaliminya. Barang siapa memperbuat demikian , sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri. Janganlah kamu ambil ayat-ayat Allah jadi olok-olokkan. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu dan apa-apa yang diturunkanNya kepadamu, yaitu Kitab dan hikmah, sedang Dia memberi pengajaran kepadamu. Takutlah kepada Allah dan ketahuilah, bahawasanya Allah Mahamengetahui tiap-tiap sesuatu.
232. Apabila kamu menceraikan perempuan, kemudian telah habis idahnya, maka janganlah kamu larang perempuan itu hendak mengahwini bekas suaminya kembali, jika mereka itu telah suka sama suka secara makruf. Demikian itu diajarkan kepada siapa yang beriman kepada Allah dan hari yang kemudian. Demikin itulah yang lebih baik dan lebih suci bagimu. Allah mengetahui dan kamu tiada mengetahui.
233. Ibu-ibu menyusukan anak-anaknya dua tahun genap, bagi orang yang menghendaki akan menyempurnakan susuan. Atas bapa memberi belanja ibu anaknya itu dan pakaiannya secara makruf. Tiadalah diberati seseorang, melainkan sekadar tenaganya. Tiadalah melarat ibu kerana anaknya, dan tiada pula bapa kerana anaknya; dan terhadap waris pun seperti demikian pula. Jika kedua ibubapa hendak menceraikan anaknya dari menyusu dengan kesukaan dan permusyawaratan antara keduanya, maka tiada berdosa keduanya. Jika kamu menghendaki perempuan lain menyusukan anakmu , maka tiada berdosa kamu bila kamu berikan upahnya secara makruf. Takutlah kepada Allah dan ketahuilah, bahawasanya Allah Mahamelihat apa-apa yang kamu kerjakan.
234. Orang-orang yang mati diantara kamu, sedang mereka meninggalkan balu, hendaklah balu mereka itu menantikan dengan sendirinya empat bulan dan sepuluh hari. Apabila sampai idahnya itu, maka tiada berdosa kamu, tentang apa-apa yang diperbuat perempuan itu terhadap dirinya secara makruf. Allah Mahamengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.
235. Tiada berdosa kamu, jika kamu meminang perempuan dengan kata sindiran atau kamu sembunyikan dalam hatimu. Allah mengetahui, bahawa kamu akan menyebutkannya kepada perempuan itu. Tetapi janganlah kamu janjikan kepadanya dengan rahsia, melainkan hendaklah kamu sebut perkataan yang patut. Janganlah kamu bercita-cita hendak melangsungkan perkahwinan, kecuali habis idahnya. Ketahuilah, bahawasanya Allah mengetahui apa-apa yang di dalam hatimu, maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah, bahawasanya Allah Pengampun lagi Penyantun.
236. Tiada berdosa kamu, jika kamu mentalak perempuanmu, sebelum kamu bersetubuh dengan dia atau sebelum kamu tentukan maskahwinnya. Berilah perempuan itu kegembiraan secara makruf; orang kaya sekadar kekayaannya, dan orang miskin sekadar kemiskinannya, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang berbuat kebaikan.
237. Jika kamu mentalak perempuan , sebelum kamu bersetubuh dengan dia, sedang kamu telah menentukan mas kahwinnya, maka untuk perempuan itu seperdua daripada yang kamu tentukan itu; kecuali jika dimaafkannya atau maaf orang yang ditangannya akad nikah. Maaf itu lebih hampir kepada takwa. Janganlah kamu lupakan kurnia sesama kamu. Seseungguhnya Allah Mahamelihat apa-apa yang kamu kerjakan.
238. Peliharakanlah segala solat dan solat yang pilihan. Berdirilah kerana Allah ; serta mentaatiNya.
239. Jika kamu takut, maka berjalan kaki atau berkenderaan. Apabila kamu telah aman, maka ingatlah akan Allah, sebagaimana Dia telah mengajarkan kepadamu apa-apa yang tiada kamu ketahui.
240. Orang-orang yang mati diantara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, boleh mereka berwasiat kepada isterinya itu, supaya bersenang-senang setahun lamanya, tanpa dikeluarkan. Tetapi jika perempuan itu keluar, maka tiada berdosa kamu tentang apa-apa yang diperbuatnya bagi dirinya secara makruf. Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.
Surat Al-Baqarah
Sunday, May 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment