Thursday, May 21, 2009

31 - 40 daripada 286 ayat

31.Allah mengajarkan kepada Adam sekalian nama-nama barang, kemudian dibawa barang-barang itu kepada malaikat, lalu Allah berfirman: Khabarkanlah kepadaKu nama-nama barang ini, jika kamu yang benar.
32.Jawab mereka: Mahasuci Engkau, tak adalah pengetahuan kami, melainkan apa-apa yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Mahamengetahui lagi Mahabijaksana.
33.Berfirman Allah: Hai Adam, khabarkanlah kepada malaikat itu nama-nama barang ini ! Tatkala Adam menerangkan nama-nama barang itu, Allah berfirman: Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, bahawa Aku mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi, serta Kuketahui apa-apa yang kamu lahirkan dan apa-apa yang kamu sembunyikan ?
34.Ketika Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam ! Lalu mereka itu sujud, kecuali iblis, ia enggan, dan takbur, dan ia termasuk orang-orang kafir.
35.Berkata Kami: Hai Adam, tinggallah engkau bersama isteri engkau dalam syurga, dan makanlah buah-buahannya dengan senang menurut kehendakmu; dan janganlah kamu mendekati pohon kayu ini, nanti kamu termasuk orang-orang zalim.
36.Kemudian keduanya diperdayakan oleh syaitan, sampai dikeluarkan dari yang telah didapatinya. Berkata Kami: Turunlah kamu, sebahagian kamu dengan yang lain bermusuh-musuhan; dan untukmu tempat kediaman di atas bumi, dan kesenangan, hingga seketika.
37.Kemudian Adam memperolehi beberapa kalimat daripada Tuhannya, lalu Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Dia Penerima taubat lagi Penyayang.
38.Berkata Kami: Turunlah kamu sekalian dari syurga. Jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikut petunjukKu itu, niscaya tak ada ketakutan atas mereka dan tiada mereka berdukacita.
39.Orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka, sedang mereka itu kekal didalamnya.
40.Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmatKu yang telah Kuanugerahkan kepadamu; dan sempurnakanlah janjiKu, niscaya Kusempurnakan janjiKu untukmu dan hanya kepadaKu hendaklah kamu takut.

No comments:

Post a Comment