Friday, July 31, 2009

Allah Berwasiat

151. Katakanlah : Marilah kamu, aku bacakan apa-apa yang diharamkan Tuhanmu atas kamu, janganlah kamu mempersekutukan Allah dengan sesuatupun, dan berbuat baiklah kepada ibu-bapa ; dan janganlah kamu bunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kami memberi rezeki kamu dan mereka dan janganlah kamu menghampiri perbuatan yang keji, baik yang zahir atau yang batin ; dan janganlah kamu bunuh orang yang diharamkan Allah, kecuali dengan hak. Demikianlah Allah berwasiat kepadamu, mudah-mudahan kamu memikirkannya.

152. Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim, kecuali dengan jalan yang terbaik, hingga dia sampai dewasa ; dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan keadilan. Tiadalah Kami berati diri, melainkan sekadar tenaganya, dan apabila kamu berkata hendaklah berlaku adil, walaupun terhadap karib-karibmu sendiri dan tepatilah janji Allah. Demikianlah Allah berwasiat kepadamu, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan.

153. Sesungguhnya ini jalanku yang lurus ; sebab itu kamu turutlah jalanku itu dan janganlah kamu turut jalan-jalan yang lain, nanti bercerai-berai kamu daripada jalanNya. Demikianlah Allah berwasiat kepadamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.

154. Kemudian Kami anugerahkan sebuah Kitab kepada Musa, untuk menyempurnakan nikmat bagi orang yang berbuat kebaikan dan menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat ; mudah-mudahan mereka beriman akan menemui Tuhannya.

155. Inilah Kitab yang Kami turunkan lagi diberkati ; sebab itu ikutlah dia dan bertakwalah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

156. Supaya jangan kamu berkata : Sesungguhnya Kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan manusia sebelum kami dan sesungguhnya kami lengah mempelajarinya.

157. Atau kamu berkata : Kalau sekiranya diturunkan Kitab kepada kami, niscaya kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka. Sesungguhnya telah datang kepadamu keterangan daripada Tuhanmu, serta petunjuk dan rahmat. Maka siapakah yang terlebih zalim daripada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya ? Nanti akan Kami balasi orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Kami dengan sejahat-jahat siksaan, sebab mereka itu berpaling.

158. Tiadalah yang mereka tunggu, melainkan kedatangan malaikat atau kedatangan Tuhanmu atau kedatangan sebahagiab tanda-tanda hari kiamat. Pada hari datang sebahagian tanda-tanda hari kiamat itu, tiadalah berguna keimanan seseorang yang belum beriman dari dahulu atau belum mengerjakan kebaikan dalam keimanannya. Katakanlah : Kamu tunggulah dan kami menunggu pula.

159. Sesungguhnya orang-orang berpecah-belah dalam agamanya dan mereka bergolong-golongan, bukanlah engkau dari golongan mereka itu sedikit juapun. Sesungguhnya urusan mereka kepada Allah, kemudian Allah mengabarkan kepada mereka tentang apa yang mereka perbuat.

160. Barang siapa datang dengan satu kebaikan, maka baginya sepuluh kali ganda. Barang siapa datang dengan satu kejahatan, maka tiadalah dia dibalasi, melainkan dengan seumpamanya sedang mereka itu tiada dizalimi.

surat Al-Anaam

Thursday, July 30, 2009

Mempunyai Kuku Satu

141. Dia yang menjadikan beberapa bidang kebun, yang berjunjung dan yang tiada berjunjung, pohon kurma dan tanaman yang bermacam-macam buahnya dan zaitun dan delima yang serupa kelihatannya dan yang tiada serupa. Makanlah buahnya, bila ia telah berbuah dan keluarkan haknya pada hari pemotongannya dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang berlebih-lebihan.

142. Diantara haiwan-haiwan ternak, pemikul beban dan untuk disembelih. Makanlah sebahagian rezeki yang dianugerahkan Allah kepadamu dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuhmu yang nyata.

143. Lapan pasang, dua dari biri-biri dan dua dari kambing. Katakanlah : Apakah yang mengharamkan, jantan keduanyakah atau betina keduanya atau yang dikandung rahim betina keduanya ? Khabarkanlah kepadaku dengan ilmu pengetahuan, jika kamu orang yang benar.

144. Dan dua dari unta dan dua dari lembu. Katakanlah : Apakah yang mengharamkan , jantan keduanyakah atau betina keduanya atau yang dikandung rahim betina keduanya ? Bahkan adakah kamu menjadi saksi, ketika Allah berpesan kepadamu tentang ini ? Siapakah yang terlebih zalim dari orang yang mengada-adakan bohong terhadap Allah, untuk menyesatkan manusia tanpa ilmu pengetahuan ? Sesungguhnya Allah tiada menunjuki kaum yang zalim.

145. Katakanlah : Tiada kuperoleh dalam apa yang diwahyukan kepadaku yang diharamkan atas orang memakannya, kecuali mayat, darah yang mengalir atau daging babi, kerana demikian itu keji dan fasik, yang disembelih bukan dengan nama Allah. Barang siapa yang terpaksa, bukan dengan kemahuannya dan pula berlebih-lebihan, sesungguhnya Tuhanmu Pengampun lagi Penyayang.

146. Telah Kami haramkan atas orang-orang Yahudi tiap-tiap haiwan yang mempunyai kuku satu. Diantara lembu dan kambing, Kami haramkan atas mereka itu gemuk keduanya, kecuali yang terletak dipunggung keduanya atau perut muda atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami membalasi mereka itu, kerana kejahatan mereka sendiri. Sesungguhnya Kamilah yang benar.

147. Jika mereka mendustakan engkau, katakanlah : Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas dan tidak dapat ditolakkan siksaanNya dari kaum yang berdosa.

148. Nanti akan berkata orang-orang yang mempersekutukan Allah : Kalau Allah menghendaki, niscaya tiadalah kami mempersekutukan dan tiada pula bapa kami dan tiada kami mengharamkan sesuatu yang tersebut itu. Demikianlah orang-orang dahulu mendustakan rasul, sehingga mereka merasai siksaan Kami. Katakanlah : Adakah disisimu ilmu tentang itu, kalau ada, kamu tunjukkanlah kepada kami ? Tiadalah kamu turut, selain dugaan sahaja dan kamu tidak lain, hanya mengira-ngira sahaja.

149. Katakanlah: Bagi Allah ada hujah yang kuat. Kalau Dia menghendaki, niscaya ditunjukiNya kamu sekalian.

150. Katakanlah : Bawalah kemari saksi-saksimu yang mempersaksikan, bahawa Allah mengharamkan ini. Jika mereka menjadi saksi, janganlah engkau menjadi saksi bersama mereka. Janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan orang-orang yang tiada beriman kepada akhirat, sedang mereka itu mempersekutukan Tuhan.

surat Al-Anaam

Wednesday, July 29, 2009

Membunuh Anak-Anak Mereka

131. Demikian itu, kerana Tuhanmu tiada membinasakan suatu negeri dengan zalim, sedang penduduknya lalai.

132. Untuk tiap-tiap orang itu ada beberapa darjat menurut amalan mereka masing-masing. Bukanlah Tuhanmu lengah dari apa yang mereka kerjakan.

133. Tuhanmu Mahakaya lagi Mempunyai rahmat. Jika Dia menghendaki, niscaya kamu dibinasakanNya dan digantiNya sesudah kamu dengan yang dikehendakiNya, sebagaimana Dia menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.

134. Sesungguhnya apa-apa yang dijanjikan kepadamu, akan datang dan tidak dapat kamu menolaknya.

135. Katakanlah : Hai kaumku, bekerjalah kamu menurut keadaan kamu dan aku bekerja pula. Nanti akan kamu ketahui, siapa yang mendapat akibat yang baik di kampung. Sessungguhnya tiada menang orang-orang zalim.

136. Mereka mengadakan untuk Allah sebahagian dari penghasilan ladang dan ternaknya, seraya mereka berkata : " Ini untuk Allah ", menurut dugaan mereka, " dan ini untuk berhala kami ". Apa-apa yang untuk berhala mereka, tiada boleh diserahkan kepada Allah, tetapi apa-apa yang untuk Allah boleh diserahkan kepada berhala. Amat jahat sekali keputusan mereka.

137. Demikianlah syaitan-syaitan menghiaskan kepada kebanyakan orang-orang musyrik untuk membunuh anak-anak mereka , supaya membinasakannya dan mencampur-adukkan agama mereka. Kalau Allah menghendaki, niscaya mereka itu tiada memperbuatnya, sebab itu biarkanlah mereka serta apa-apa yang diada-adakannya.

138. Mereka berkata : Inilah ternak dan ladang larangan, tiada boleh seseorang memakannya, kecuali orang yang kami kehendaki, menurut dugaan mereka dan inilah ternak yang terlarang menunggangnya dan ternak yang tiada disebut nama Allah ketika menyembelihnya, semata-mata berdusta terhadap Allah. Nanti Dia akan membalasi mereka, kerana apa yang mereka ada-adakan itu.

139. Mereka berkata : Apa yang dalam kandungan perut ternak ini adalah khusus untuk laki-laki kami dan terlarang untuk perempuan-perempuan kami. Tetapi jika yang dalam kandungan itu mati, maka mereka bersekutu memakannya. Nanti Allah akan membalasi mereka tentang keterangan mereka itu. Sesungguhnya Dia Mahabijaksana, lagi Mahamengetahui.

140. Sesungguhnya telah merugi orang-orang yang membunuh anak-anak mereka, kerana kebodohan , tanpa ilmu pengetahuan dan mereka mengharamkan yang dianugerahkan Allah kepada mereka, semata-mata berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya telah sesat mereka itu dan mereka tiada mendapat petunjuk.

surat Al-Anaam

Tuesday, July 28, 2009

Kampung Keselamatan

121. Janganlah kamu makan haiwan yang disembelih tanpa disebut nama Allah, sungguh yang demikian itu adalah fasik. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah kamu dan jika kamu ikut mereka itu, niscaya kamu menjadi orang-orang musyrik.

122. Adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dan Kami adakan nur baginya, sehingga ia berjalan antara manusia, serupa dengan orang yang tinggal dalam gelap-gelita, tiada dapat keluar daripadanya ? Demikianlah, dikiaskan bagi orang-orang kafir itu apa-apa yang mereka perbuat.

123. Demikianlah, Kami adakan tiap-tiap negeri orang-orang yang besar dosanya, sehingga mereka menipu dalam negeri itu. Tetapi tiadalah mereka menipu hanya diri mereka sendiri, sedang mereka tiada sadar.

124. Apabila datang suatu ayat kepada mereka, lalu mereka berkata : Kami tiada akan beriman, sehingga ditunjukkan kepada kami seumpama yang ditunjukkan oleh rasul-rasul Allah dahulukala. Allah lebih mengetahui tempat meletakkan risalatNya. Nanti orang-orang yang berdosa itu akan ditimpa kehinaan disisi Allah dan siksaan yang keras, sebab mereka itu menipu.

125. Barang siapa dikehendaki Allah akan menunjukinya, niscaya dilapangkan dadanya bagi Islam. Barang siapa yang dikehendaki Allah akan menyesatkannya, Dia jadikan dadanya sempit dan picik, seolah-olah ia hendak naik ke langit. Demikianlah Allah mengadakan siksaan untuk orang-orang yang tiada beriman.

126. Inilah jalan Tuhanmu yang lurus. Sesungguhnya telah Kami terangkan beberapa keterangan bagi kaum yang menerima peringatan.

127. Untuk mereka itu kampung keselamatan disisi Tuhannya dan Dia wali mereka, kerana amalan yang mereka perbuat.

128. Pada hari Allah menghimpunkan mereka sekalian, : Hai sekalian jin, sesungguhnya kamu telah banyak memperdayakan manusia. Berkatalah pemimpin-pemimpin manusia : Ya Tuhan kami, telah bersuka ria setengah kami dengan yang lain ; telah tiba masa yang telah Engkau janjikan kepada kami. Allah berfirman : Nerakalah tempat kamu, serta kekal didalamnya, kecuali jika Allah menghendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Mahabijaksana, lagi Mahamengetahui.

129. Demikianlah, Kami angkat sebahagian orang-orang yang zalim menjadi pemimpin bagi yang lain, sebab usaha mereka sendiri.

130. Hai sekalian jin manusia, tiadakah sampai kepadamu rasul-rasul diantara kamu yang memberitakan ayat-ayatKu kepadamu dan memberi peringatan kepadamu akan menemui hari ini ? Sahut mereka : Kami mengaku kesalahan diri kami. Mereka terpedaya oleh kehidupan di dunia dan mereka mengakui kesalahan diri mereka, sesungguhnya mereka itu orang-orang kafir.

surat Al-Anaam

Monday, July 27, 2009

Syaitan Manusia Dan Jin

111.Kalau sekiranya Kami turunkan mereka malaikat dan orang-orang mati bercakap-cakap dengan mereka dan Kami himpunkan kepada mereka tiap-tiap sesuatu dengan berhadapan, niscaya tiada juga mereka itu beriman, kecuali dikehendaki Allah, tetapi kebanyakan mereka itu jahil.

112. Demikianlah Kami adakan musuh, bagi tiap-tiap nabi, iaitu , syaitan manusia dan jin ; setengah mereka membisikkan perkataan yang manis kepada yang lain, untuk memperdayakannya. Kalau Tuhanmu menghendaki, niscaya tiadalah mereka itu memperbuatnya, sebab itu biarkanlah mereka bersama apa-apa yang diada-adakannya.

113. Dan supaya cenderung kepadanya hati orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat dan supaya mereka menyukainya dan memperbuat apa-apa yang mereka suka perbuat.

114. Adakah lain daripada Allah kuangkat menjadi hakim ? Padahal Dialah menurunkan Kitab kepadamu dengan seterang-terangnya. Orang-orang yang Kami anugerahi Kitab, mereka itu mengetahui, bahawa Quran diturunkan daripada Tuhanmu dengan sebenarnya ; sebab itu janganlah engkau termasuk orang-orang yang bimbang.

115. Telah tamatlah kalimat Tuhanmu dengan kebenaran dan keadilan. Tiadalah yang mengubah kalimatNya ; dan Dia Mahamendengar lagi Mahamengetahui.

116. Jika engkau turut kebanyakan orang yang dibumi, niscaya mereka itu menyesatkan engkau dari jalan Allah, mereka tiadalah mengikut, selain dugaan sahaja dan mereka tidak lain, hanya mengira-ngira sahaja.

117. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang yang sesat dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

118. Maka makanlah olehmu, yang disembelih dengan nama Allah, jika kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

119. Mengapakah kamu tidak mahu memakan yang disembelih atas nama Allah ? Padahal Allah telah menerangkan kepadamu apa-apa yang diharamkan atas kamu, kecuali jika kamu terpaksa memakannya dan kebanyakan mereka hendak menyesatkan dengan hawa nafsunya, tanpa ilmu pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas.

120.Tinggalkanlah dosa zahir dan dosa batin. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa itu, nanti akan dibalas, kerana dosa yang telah mereka kerjakan itu.

surat Al-Anaam

Sunday, July 26, 2009

Tidak Mempunyai Isteri

101. Yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah akan ada bagiNya anak, sedang Dia tidak mempunyai isteri ? Dia menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dia Mahamengetahui tiap-tiap sesuatu.

102. Demikian itulah Allah. Tuhanmu, tidak ada Allah, melainkan Dia, Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, sebab itu kamu sembahlah Dia dan Dia wakil atas tiap-tiap sesuatu.

103. Dia tidak diperdapat dengan penglihatan dan Dia memperdapat penglihatan ; dan Dia Mahahalus lagi Mahamengetahui.

104. Sesungguhnya telah datang kepadamu beberapa keterangan daripada Tuhanmu. Barang siapa melihat, maka bagi dirinya ; dan barang siapa yang buta, maka atas dirinya. Bukanlah aku orang yang menjaga perbuatanmu.

105. Demikianlah Kami terangkan beberapa ayat dan supaya orang-orang kafir berkata : Engkau telah mempelajari ; dan supaya Kami terangkan ayat-ayat itu kepada kaum yang mahu mengetahui.

106. Ikutlah apa-apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu. Tidak adalah Tuhan, kecuali Dia dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik.

107. Kalau Allah menghendaki, niscaya tiadalah mereka itu mempersekutukanNya. Bukanlah Kami menjadikan engkau seorang penjaga atas mereka dan bukan pula engkau menjadi wakil atas mereka itu.

108. Janganlah kamu cerca yang mereka sembah, selain daripada Allah, nanti mereka mencerca Allah pula dengan aniaya, tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami hiaskan bagi tiap umat amal perbuatannya, kemudian tempat kembali mereka kepada Tuhannya, lalu Allah mengabarkan kepada mereka apa-apa yang telah mereka perbuat.

109. Mereka telah bersumpah dengan Allah sesungguh-sungguh sumpah, demi, jika datang kepada mereka satu ayat, niscaya mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah : Sesungguhnya ayat-ayat itu hanya disisi Allah ; dan kamu tiada tahu, bahawa bila datang ayat-ayat itu, mereka itu tiada juga mahu beriman.

110. Kami bolak-balikkan hati dan pemandangan mereka, sebagaimana mereka itu tiada mahu beriman kepada Quran pada permulaannya dan Kami biarkan mereka dalam kesesatan, sedang mereka itu bimbang.

surat Al-Anaam

Saturday, July 25, 2009

Zalim Dalam Kesakitan Maut

91. Mereka tiada memuliakan Allah menurut semestinya, ketika mereka berkata : Allah tiada menurunkan sesuatu kepada manusia. Katakanlah : Siapakah menurunkan Kitab yang dibawa oleh Musa sebagai penerangan dan petunjuk bagi manusia ? Kamu jadikan Kitab itu diatas beberapa potong kertas, kamu nyatakan sebahagiannya dan kamu sembunyikan kebanyakannya. Kamu telah di beri ilmu dengan yang belum kamu ketahui, bahkan bapa-bapamu pun tiada mengetahuinya. Katakanlah : Allah , kemudian biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya.

92. Inilah Kitab yang Kami turunkan, lagi diberkati dan membenarkan yang dihadapannya dan supaya engkau beri peringatan ibu negeri dan orang-orang sekelilingnya. Oran-orang yang beriman kepada akhirat, percaya kepadanya sedang mereka memelihara solatnya.

93. Siapakah yang terlebih zalim dari orang yang mengadakan dusta terhadap Allah ? Atau dia berkata : Telah diwahyukan kepadaku, padahal tiada diwahyukan kepadanya suatu juapun, dan orang yang berkata : Nanti kuturunkan seumpama yang diturunkan Allah itu ? Jika engkau lihat , ketika orang-orang zalim dalam kesakitan maut, sedang malaikat memukul dengan tangannya : Keluarkanlah jiwamu ! niscaya ..... Pada hari itu kamu dibalas dengan siksa kehinaan , kerana kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak benar dan kamu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat Allah.

94. Sesungguhnya kamu akan datang kepada Kami seorang demi seorang, sebagaimana Kami telah menciptakan kamu pertama kali dan kamu tinggalkan apa-apa yang Kami anugerahkan kepadamu, dibelakang punggungmu dan Kami tiada melihat bersama kamu penolong-penolongmu, yang kamu anggap, bahawa mereka sekutu Allah. Sesunguhnya telah putuslah pertalian antara kamu dan lenyaplah daripadamu apa-apa yang kamu anggap itu.

95. Sesungguhnya Allah yang membelah biji dan biji. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Demikian itulah Allah. Mengapakah kamu berpaling ?

96. Dia yang membukakan subuh dan mengadakan malam untuk beristirahat dan matahari dan bulan untuk perhitungan. Demikian itulah takdir yang Mahaperkasa, lagi Mahamengetahui.

97. Dia yang mengadakan bintang-bintang untukmu, supaya kamu dapat petunjuk dengan dia dalam kegelapan daratan dan lautan. Sesungguhnya telah Kami terangkan beberapa ayat bagi kaum yang mahu mengetahui.

98. Dia yang menjadikan kamu daripada diri yang satu, kemudian kamu tetap dan tersimpan. Sesungguhnya telah Kami terangkan beberapa ayat bagi kaum yang mahu memahami.

99. Dia yang menurunkan air dari langit, kemudian Kami tumbuhkan dengan air itu bermacam-macam tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya daun-daun yang menghijau, Kami keluarkan daripadanya biji-biji yang bersusun-susun, dari mayang pohon kurma, buah kurma dengan tangkainya yang berdekatan dan lagi kebun-kebun dari pokok-pokok anggur, zaitun dan delima, yang serupa dan tiada yang serupa. Kamu perhatikanlah buahnya, bila ia berbuah dan buahnya yang telah masak. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang mahu beriman.

100. Mereka mengangkat jin menjadi sekutu Allah, padahal Allah menciptakan jin itu dan mereka mengadakan anak lelaki dan perempuan bagi Allah, tanpa ilmu. Maha suci Allah dan Mahatinggi dari apa-apa yang mereka sifatkan itu.

surat Al-Anaam

Friday, July 24, 2009

Tiada Minta Upah

81. Bagaimanakah aku akan takut kepada yang kamu persekutukan itu, sedangkan kamu tiada takut mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tiada diturunkan keterangan kepadanya. Maka golongan manakah yang terlebih patut mendapat keamanan ? Jika kamu mengetahui ?

82. Orang-orang yang beriman dan tiada mempercampurkan keimanannya dengan kezaliman, untuk mereka keamanan, sedang mereka itu mendapat petunjuk.

83. Itulah hujah Kami, Kami anugerahkan kepada Ibrahim untuk kaumnya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Mahabijaksana lagi Mahamengetahui.

84. Kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. Keduanya itu Kami beri petunjuk, dan Kami telah menunjuki Nuh sebelum itu dan diantara keturunannya Daud, Sulaiman, Aiyub, Yusuf, Musa dan Harun. Demikianlah Kami balasi orang-orang yang berbuat kebaikan.

85. Dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Semuanya itu orang-orang yang salih.

86. Dan Ismail, Ilyasa, Yunus dan Luth. Semuanya itu Kami lebihkan atas orang-orang dalam alam.

87. Dan diantara bapa-bapa mereka dan anak cucu-cucu mereka dan saudara-saudara mereka, dan Kami pilih mereka itu dan Kami tunjuki ke jalan yang lurus.

88. Demikian itulah, petunjuk Allah, Dia tunjuki dengan petunjuk itu siapa yang dikehendakiNya diantara hamba-hambaNya. Kalau mereka itu mempersekutukan, niscaya hapuslah apa-apa yang mereka amalkan.

89. Kepada mereka itu telah Kami anugerahkan Kitab, hukum dan pangkat kenabian, jika mereka itu kafir kepadanya, maka Kami telah sediakan kaum lain yang bukan orang-orang kafir.

90. Mereka itulah orang-orang yang telah ditunjuki Allah, sebab itu ikutlah petunjuk mereka itu. Katakanlah : Aku tiada minta upah kepadamu atas menyampaikan Quran ini. Ia tidak lain, hanya peringatan bagi seisi alam.

surat Al-Anaam

Thursday, July 23, 2009

Inikah Tuhanku ?

71. Katakanlah : Adakah kita sembah, selain daripada Allah, sesuatu yang tiada bermanfaat kepada kita dan tiada pula mudarat dan kita kembali menjadi kafir, sesudah Allah menunjuki kita, seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan dimuka bumi, sehingga menjadi hairan ; baginya ada beberapa orang teman yang menyerunya kepada petunjuk : Marilah bersama kami ! Katakanlah : Sesungguhnya petunjuk Allah ialah sebenarnya petunjuk. Kami disuruh, supaya kami patuh kepada Tuhan semesta alam.

72. Dirikanlah solat dan takutlah kepadaNya. Dan kamu akan dihimpunkan kepadaNya.

73. Dia yang menciptakan langit dan bumi dengan sebenarnya. Pada hari Allah berkata : Jadilah engkau, maka jadilah ia. KataNya adalah kebenaran. BagiNya kerajaan pada hari ditiup sangkakala. Yang mengetahui segala yang ghaib dan yang hadir dan Dia Mahabijaksana lagi Mahamengetahui.

74. Ketika Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar : Adakah engkau ambil berhala menjadi Tuhan ? Sesungguhnya aku melihat engkau dan kaum engkau dalam kesesatan yang nyata.

75. Demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi, supaya dia termasuk orang-orang yang yakin.

76. Tatkala malam telah gelap, dia melihat bintang, lalu dia berkata : Inikah Tuhanku ? Tatkala bintang itu terbenam, dia berkata : Aku tiada mengasihi barang yang lenyap itu.

77. Tatkala dia melihat bulan telah terbit, dia berkata : Inikah Tuhanku ? Tatkala bulan itu terbenam, dia berkata : Jika aku tiada ditunjuki oleh Tuhanku, niscaya aku termasuk kaum yang sesat.

78. Tatkala dia melihat matahari telah terbit, dia berkata : Inikah Tuhanku ? Ini lebih besar. Tatkala matahari itu terbenam, dia berkata : Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa-apa yang kamu persekutukan itu.

79. Sesunggunya kuhadapkan mukaku kepada yang menciptakan langit dan bumi, serta condong dan bukanlah aku termasuk orang-orang musyrik.

80. Dia dibantah oleh kaumnya. Dia berkata : Adakah patut kamu membantahku tentang Allah, padahal Dia telah menunjukiku ? Aku tiada takut kepada yang kamu persekutukan dengan Allah, kecuali jika Tuhanku menghendaki sesuatu yang demikian. Meliputi ilmu Tuhanku akan tiap-tiap sesuatu. Apa tiadakah kamu mendapat peringatan ?

surat Al-Anaam

Wednesday, July 22, 2009

Lembah Kebinasaan

61. Dia yang Mahakuasa atas segala hambaNya dan mengutus kepadamu para penjaga sehingga apabila datang maut kepada salah seorang kamu, lalu utusan-utusan Kami mewafatkannya, sedang mereka itu tiada lengah.

62. Kemudian mereka itu dikembalikan kepada Allah, Tuhan mereka yang hak. Ingatlah bagi Allah ketentuan hukum dan Dia selekas-lekas menghisab.

63. Katakanlah : Siapakah yang akam melepaskanmu dari kegelapan daratan dan lautan, sedang kamu meminta kepadaNya dengan berterang-terangan dan bersembunyi : Demi, jika Dia melepaskan kami dari ini , niscaya kami termasuk orang-orang yang berterima kasih.

64. Katakanlah : Allah yang melepaskan kamu daripadanya dan dari sekalian dukacita, kemudian kamu mempersekutukan.

65. Katakanlah : Dia kuasa mengirimkan siksaan kepadamu dari atas atau dari bawah kakimu atau Dia menjadikan kamu bergolong-golongan, sehingga setengah kamu merasa kesakitan daripada lain. Perhatikanlah , bagaimana Kami menerangkan beberapa ayat, mudah-mudahan mereka memahaminya.

66. Kaum engkau mendustakan ayat-ayat ini, padahal ia suatu kebenaran. Katakanlah : Bukanlah aku menjadi wakil atas kamu.

67. Bagi tiap-tiap perkhabaran ada ketetapannya dan nanti kamu akan mengetahuinya.

68. Apabila engkau lihat orang-orang yang bercakap-cakap ayat-ayat Kami, maka berpalinglah engkau daripada mereka, sehingga mereka bercakap-cakap tentang perkara yang lain. Jika engkau lupa kerana syaitan, maka janganlah engkau duduk bersama kaum yang zalim, setelah engkau ingat demikian itu.

69. Tiadalah kewajipan orang-orang yang takwa memperhitungkan orang-orang yang memperolok-olokkan itu sedikitpun, tetapi hanya peringatan, mudah-mudahan mereka itu bertakwa.

70. Biarkanlah orang-orang yang mengambil agamanya jadi permainan dan pergurauan, dan mereka terpedaya oleh hidup di dunia dan berilah mereka peringatan dengan Quran supaya jangan dijatuhkan diri mereka ke lembah kebinasaan, kerana usahanya. Tidak adalah baginya wali dan tiada pula pembantu, selain daripada Allah. jika dia tebus dengan bermacam-macam tebusan, tiadalah diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijatuhkan ke lembah kebinasaan, kerana usahanya. Untuk mereka itu minuman yang panas dan siksaan yang pedih, sebab mereka itu kafir.

surat Al-Anaam

Tuesday, July 21, 2009

Anak Kunci Yang Ghaib

51. Berilah peringatan dengan Quran akan orang-orang yang takut, bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuahnnya, tidak adabagi mereka wali dan tidak pula penolong, selain daripadaNya, mudah-mudahan mereka bertakwa.

52. Janganlah engkau usir-orang-orang yang menyembah Tuhannya pada pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaan Allah. Bukanlah kewajipan engkau memperhitungkan mereka sedikitpun dan bukan pula kewajipan mereka memperhitungkan engkau sedikitpun, sehingga engkau mengusir mereka, nanti engkau termasuk orang-orang yang zalim.

53. Seperti demikianlah Kami cubai setengah mereka dengan yang lain, supaya mereka berkata : Adakah mereka ini mendapat nikmat dari Allah diantara kami ? Bukankah Allah lebih mengetahui orang-orang yang berterima kasih ?

54. Apabila datang kepada engkau orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami, maka ucapkanlah kepada mereka Salamun alaikum. Tuahnmu telah menetapkan atas diriNya akan memberi rahmat. Sesungguhnya siapa mengerjakan kejahatan diantaramu, sebab kejahilannya, kemudian dia bertaubat sesudah itu dan memperbaiki, maka sesungguhnya Allah Pengampun , lagi Penyayang.

55. Seperti demikianlah Kami terangkan beberapa ayat, supaya terang jalan orang-orang yang berdosa.

56. Katakanlah : Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah, selain daripada Allah. Katakanlah : Aku tiada akan mengikut hawa nafsumu, jika aku ikut niscaya sesatlah aku dan bukanlah aku dari orang-orang yang mendapat petunjuk.

57. Katakanlah : Sesungguhnya aku diatas keterangan daripada Tuhanku dan kamu mendustakannya. Tidak ada disisiku yang kamu mintakan segerakan itu. Tidak adalah suatu keputusan, melainkan bagi Allah. Dia mengisahkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memutuskan.

58. Katakanlah : Kalau sekiranya ada disisiku yang kamu minta segerakan itu, niscaya diputuskanlah urusan itu antara aku dan antara kamu. Allah lebih mengetahui orang-orang yang zalim.

59. DisisiNya segala anak kunci yang ghaib, tiadalah yang mengetahuinya, kecuali Dia sendiri. Dia mengetahui apa-apa yang didaratan dan di lautan. Tiadalah gugur sehelai daun kayu pun, melainkan Dia mengetahuinya dan tiada sebuah biji dalam gelap-gelita bumi dan tiada pula yang basah dan yang kering, melainkan semuanya itu dalam Kitab yang terang.

60. Dia yang mewafatkan kamu malam hari dan mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan siang hari, kemudian Dia membangkitkan kamu siang hari, supaya diteruskan masa hidup yang ditentukan, kemudian kepadaNya tempat kembalimu, kemudian Dia memberitakan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.

surat Al-Anaam

Monday, July 20, 2009

Akhirnya Kaum Zalim

41. Bahkan, kepada Dialah kamu menyeru, lalu Dia menghilangkan yang kamu mintakan itu, jika dikehendakiNya ; dan kamu lupakan apa yang kamu persekutukan itu.

42. Sesungguhnya telah Kami utus kepada umat sebelum engkau, lalu Kami siksa mereka itu dengan kesengsaraan dan kemelaratan, mudah-mudahan mereka itu tunduk.

43. Mengapa mereka tiada juga tunduk, ketika mereka ditimpa siksaan Kami ? Bahkan hati mereka amat keras, sedang syaitan menghiaskan kepada mereka apa yangmereka perbuat itu.

44. Tatkala mereka lupa akan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu, sehingga apabila mereka telah bersuka-ria dengan yang mereka perdapat itu, lalu dengan sekonyong-konyong Kami siksa mereka , sehingga mereka berputus-asa.

45. Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang zalim ; dan puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam.

46. Katakanlah : Khabarkanlah kepadaku, jika Allah melenyapkan pendengaran dan penglihatanmu dan mencap mata hatimu, siapakah Tuhan selain Allah yang akan memberi kamu ? Perhatikanlah , bagaimana Kami menerangkan beberapa ayat, kemudian mereka berpaling juga.

47. Katakanlah : Khabarkanlah kepadaku , jika datang siksaan Allah kepadamu dengan sekonyong-konyong atau berterang-terangan, tiadalah yang akan dibinasakan, melainkan kaum yang zalim.

48. Kami tiada mengutus rasul-rasul itu, melainkan supaya mereka memberi khabar gembira dan khabar takut. Barang siapa beriman dan memperbaiki maka tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tiada pula mereka berdukacita.

49. Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, mereka akan ditimpa siksaan kerana mereka itu fasik.

50. Katakanlah : Aku tiada mengatakan kepadamu, bahawa disisiku perbendaharaan Allah dan aku tiada mengetahui barang yang ghaib dan tiada mengatakan kepadamu, bahawa aku seorang malaikat. Tiadalah aku turut, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah : Adakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat ? Apa tiadakah kamu memikirkan ?

surat Al-Anaam

Sunday, July 19, 2009

Membuat Tangga Ke Langit

31.Sesungguhnya merugilah orang-orang yang mendustakan akan menemui Allah. Sehingga apabila datang hari kiamat dengan sekonyong-konyong, mereka berkata : Aduhai penyesalan kami atas ketaksiran kami di dunia. Sedang mereka memikul dosa mereka di atas punggung mereka sendiri. Ingatlah, amat jahat apa yang mereka pikul itu.

32. Tiadalah hidup di dunia ini, melainkan permainan dan pergurauan. sesungguhnya kampung akhirat, lebih baik bagi orang-orang yang takwa. Apa tidakkah kamu memikirkan ?

33. Sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau berdukacita kerana perkataan mereka, sesungguhnya mereka tiada mendustakan engkau, tetapi orang-orang yang zalim menyangkal ayat-ayat Allah.

34. Sesungguhnya telah didustakan rasul-rasul sebelum engkau, lalu mereka berhati sabar atas apa yang didustakan itu dan mereka disakiti orang, sehingga datang pertolongan Kami kepadda mereka. Tidak adalah yang menukar kalimat Allah. Sesungguhnya telah sampai kepadamu berita rasul-rasil itu.

35. Jika berat bagimu, kerana mereka berpaling daripadamu, jika engkau kuasa menembus lubang ke dalam bumi, atau membuat tangga ke langit, lalu engkau berikan keterangan kepada mereka. Jikalau Allah menghendaki, niscaya dihimpunkanNya mereka atas petunjuk, sebab itu janganlah engkau termasuk orang-orang yang jahil.

36. Sesungguhnya yang memperkenankan, hanya orang-orang yang sebenarnya mendengar. Tetapi orang-orang yang mati, nanti Allah akan membangkitkan mereka, kemudian mereka dikembalikan kepadaNya.

37. Mereka itu berkata : Mengapakah tiada diturunkan kepada Muhammad suatu ayat daripada TuhanNya ? Katakanlah : Sesungguhnya Allah kuasa menurunkan ayat itu, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.

38. Tiadalah yang melata dibumi dan tiada pula burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan semuanya itu beberapa umat seumpama kamu juga. Kami tiada meninggalkan dalam kitab suatu jua pun ; kemudian mereka dihimpunkan kepada Tuhan mereka.

39. Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu tuli dan bisu, dalam gelap-gelita. Barang siapa yang dikehendaki Allah, niscaya sesatlah dia. Barang siapa dikehendaki Allah, niscaya ditunjukiNya ke atas jalan yang lurus.

40. Katakanlah : Khabarkanlah kepadaku, jika kamu ditimpa siksaan Allah, atau datang kepadamu hari kiamat, adakah kamu menyeru selain daripada Allah, jika kamu orang yang benar ?

surat Al-Anaam

Saturday, July 18, 2009

Khabar Dongeng Orang-Orang Dahulu

21. Siapakah yang terlebih zalim dari orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah, atau orang yang mendustakan ayat-ayatNya ? Sesungguhnya tiadalah menang orang-orang yang zalim.

22. Pada hari Kami himpunkan mereka sekalian, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan : Di manakah sekutu-sekutu kamu yang kamu anggap dahulu ?

23. Kemudian tiadalah cubaan mereka, selain berkata : Demi Allah, Tuhan kami, bukanlah kami orang mempersekutukan.

24. Perhatikanlah , bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri dan telah lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

25. Diantara mereka ada orang yang mendengarkan engkau dan Kami adakan tutup atas hati mereka, sehingga mereka tiada mengerti apa-apa dan pekak di telinga mereka. Jika mereka lihat beberapa ayat, mereka tiada beriman kepadanya. Sehingga apabila mereka datang kepada engkau hendak membantahmu, maka orang-orang yang kafir itu berkata : Ini tidak lain, hanya khabar dongeng orang-orang dahulu.

26. Mereka melarang orang mengikut dan menjauhkan diri daripadanya. Padahal tiadalah mereka membinasakan selain diri mereka sendiri, sedang mereka tiada sadar.

27. Jika engkau lihat, ketika mereka dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata : Aduhai kiranya, dikembalikanlah kami dan kami tiada akan mendustakan ayat-ayat Tuhan kami dan kami akan termasuk orang-orang yang beriman.

28. Bahkan, nyatalah bagi mereka apa-apa yang mereka sembunyikan masa dahulu. Kalau sekiranya mereka dikembalikan, niscaya mereka akan kembali pula apa yang dilarang itu dan sesungguhnya mereka itu orang dusta.

29. Mereka berkata : Tiadalah hidup, melainkan hidup kita di dunia dan kita tiada akan dibangkitkan kembali.

30. Jika engkau lihat, ketika mereka dihadapkan kehadirat Tuhan mereka. Allah berkata : Bukankah ini, suatu kebenaran ? Mereka menjawab : " Ya, demi Tuhan kami, ". Allah berfirman : Rasailah olehmu siksaan itu, disebabkan kamu mengengkarinya.

surat Al-Anaam

Friday, July 17, 2009

Saksi Yang Lebih Besar

11. Katakanlah : Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibatnya orang-orang yang mendustakan itu.

12. Katakanlah : Bagi siapakah apa-apa yang di langit dan di bumi ? Katakanlah : Bagi Allah . Dia telah menetapkan atas diriNya akan memberi rahmat. Demi, sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka tidak mahu beriman.

13. Bagi Allah apa-apa yang terdapat pada malam dan siang. Dia Mahamendengar lagi Mahamengetahui.

14. Katakanlah : Adakah patut lain dari Allah kuangkat jadi wali ? Padahal Dia yang menciptakan langit dan bumi dan Dia memberi makan dan Dia tiada diberi makan. Katakanlah : sesungguhnya aku disuruh, supaya aku orang yang mula-mula Islam dan janganlah engkau termasuk orang-orang yang musyrik.

15. Katakanlah : Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhakai Tuhanku, akan azab hari yang besar.

16. Barang siapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, sesungguhnya Allah telah mengasihinya. Dan itulah kemenangan yang nyata.

17. Jika Allah menyentuhkan kemelaratan kepada engkau, maka tiadalah yang akan menghilangkannya, melainkan Dia sendiri ; dan jika Dia menyentuhkan kebajikan kepada engkau maka Dia Mahakuasa atas tiap-tiap sesuatu.

18. Dia yang kuasa di atas segala hambaNya. Dia Mahabijaksana lagi Mahamengetahui.

19. Katakanlah : Apakah saksi yang lebih besar lagi ? Katakanlah : Allah yang menjadi saksi antara aku dan antara kamu. Telah diwahyukan kepadaku Quran ini, supaya kuberi khabar takut kepadamu dan kepada orang yang telah sampai Quran kepadanya. Adakah patut kamu akui, bahawa ada tuhan-tuhan yang lain bersama Allah ? Katakanlah : Aku tiada mengakuinya. Katakanlah : Sesungguhnya Dia, hanya Tuhan yang Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan itu.

20. Orang-orang yang Kami anugerahi kitab, mereka mengenalnya, seperti mereka mengenal anak-anak sendiri. Orang-orang yang telah merugikan diri sendiri, ialah oraang-orang yang tiada beriman.

surat Al-Anaam

Thursday, July 16, 2009

Mendustakan Kebenaran

1. Puji-pujian bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi dan mengadakan gelap dan nur. Kemudian orang-orang yang kafir kepada Tuhan berpaling juga.

2. Dia yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia menetapkan ajalmu dan ajal yang ditentukan disisiNya, kemudian kamu bimbang.

3. Dialah Allah di langit dan di bumi. Dia mengetahui yang kamu rahsiakan dan yang kamu lahirkan dan mengetahui apa-apa yang kamu usahakan.

4. Tidak ada satu ayat yang datang kepada mereka diantara beberapa ayat Tuhan, melainkan mereka berpaling daripadanya.

5. Sesungguhnya mereka mendustakan kebenaran, tatkala datang kepada mereka. Nanti akan datang kepada mereka berita apa yang mereka perolok-olokkan itu.

6. Tiadakah mereka ketahui, berapa banyaknya umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, Kami senangkan mereka di bumi dengan kesenangan yang belum pernah Kami berikan kepadamu dan Kami turunkan hujan yang lebat atas mereka dan kami adakan air sungai mengalir dibawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka, kerana dosa mereka sendiri dan Kami jadikan sesudah mereka itu umat yang lain.

7. Kalau Kami turunkan kepada engkau Kitab dikertas, sehingga mereka pegang dengan tangan mereka sendiri, niscaya orang-orang yang kafir itu berkata : Ini tidak lain, hanya sihir yang terang.

8. Mereka berkata : Mengapakah tidak diturunkan bersamanya seorang malaikat ? Kalau Kami turunkan seorang malaikat, niscaya dibinasakan mereka itu dan tiadalah mereka itu diberi tempoh.

9. Jikalau Kami utus seorang malaikat, tentu Kami jadikan malaikat itu serupa seorang laki-laki, dan mereka menaruh keraguan juga apa yang mereka ragukan.

10. Sesungguhnya telah diperolok-olokkan rasul-rasul sebelum engkau, kemudian turunlah kepada mereka yang memperolok-olokkan itu yang mereka perolok-olokkan.

surat Al-Anaam

Wednesday, July 15, 2009

Allah Suka Dan Mereka Suka Pula

111. Ketika Aku wahyukan kepada Hawariyin : Berimanlah kamu kepadaKu dan kepada rasulKu. Mereka menjawab : Kami telah beriman, dan menjadi saksilah Engkau, bahawa sesungguhnya kami orang yang patuh.

112. Ingatlah ketika Hawariyin berkata : Ya Isa anak Maryam , adakah kuasa Tuhanmu menurunkan makanan dari langit untuk kami ? Berkata Isa : Takutlah kamu kepada Allah , jika kamu orang beriman.

113. Mereka itu berkata : Kami menghendaki, supaya kami dapat memakan makanan itu dan supaya tenang hati kami dan kami mengetahui, bahawa engkau telah membenarkan kami, sehingga kami menjadi saksi atas demikian itu.

114. Berkata Isa anak Maryam : Ya Allah, Tuhan kami, turunkan kepada kami makanan dari langit, untuk menjadi perayaan bagi kami, bagi awal kami dan akhir kami dan jadi bukti kekuasaan Engkau dan beri rezekilah kami, sedang Engkau sebaik-baik yang memberi rezeki.

115. Allah berfirman : Sesungguhnya Aku menurunkan makanan itu kepadamu. Barang siapa yang kafir diantaramu sesudah itu, maka sesungguhnya akan Kusiksa dia dengan siksaan yang belum pernah Aku siksa seorang jua diantara orang-orang dalam alam.

116 Ingatlah ketika Allah berfirman. : Ya Isa anak Maryam, adakah engkau katakan kepada manusia : Ambillah aku dan ibuku menjadi Tuhan, selain daripada Allah. Dia menjawab : Mahasuci Engkau,, Tak pantas bagiku, bahawa kukatakan sesuatu, yang bukan hak aku. Jika kukatakan demikian, tentu Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa-apa yang dalam diriku dan aku tiada mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Mahamengetahui segala yang ghaib.

117. Tiadalah kukatakan kepada mereka, melainkan apa-apa yang Engkau perintahkan kepadaku, iaitu : Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu dan aku menjadi saksi atas mereka, selama aku hidup bersama mereka. Tatkala Engkau mewafatkanku, Engkaulah mengawas mereka. Engkau menjadi saksi atas tiap-tiap sesuatu.

118. Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka itu hambamu dan jika Engkau ampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau Mahaperkasa lagi Mahabijaksana.

119. Allah berfirman : Inilah hari yang bermanfaat kebenaran bagi orang-orang yang benar. Untuk mereka itu syurga yang mengalir air sungai dibawahnya, sedang mereka kekal didalamnya selama-lamanya. Allah suka kepada mereka dan mereka suka kepada Allah. Itulah kemenangan yang besar.

120. Bagi Allah kerajaan langit dan bumi dan apa-apa yang didalam semuanya, dan Dia Mahakuasa atas tiap-tiap sesuatu.

surat Al-Maidah

Tuesday, July 14, 2009

Kebohongan Terhadap Allah

101. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu bertanya tentang beberapa perkara, jika diterangkan kepadamu, nanti menyusahkan kamu. Jika kamu bertanya tentang satu perkara, ketika Quran diturunkan, niscaya teranglah bagimu. Allah telah memaafkan daripadanya. Allah Pengampun lagi Penyantun.

102. Sesungguhnya telah menanyakannya satu kaum sebelum kamu, kemudian mereka itu menjadi kafir.

103. Allah tiada mengadakan bahirah, tidak saibah, tidah washilah dan tidak pula ham. Tetapi orang-orang kafirlah mengadakan kebohongan terhadap Allah, sedang kebanyakan mereka itu tiada memikirkan.

104. Apabila dikatakan kepada mereka : Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada rasul, mereka itu berkata : Cukuplah bagi kami apa-apa yang kami mendapat daripada bapa-bapa kami. Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada mengetahui suatu apapun dan tiada pula mendapat petunjuk.

105. Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri ; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk. Kepada Allah tempat kembalimu sekalian, lalu Allah mengabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu amalkan.

106. Hai orang-orang yang beriman, untuk menjadi saksi diantara kamu, bila salah seorang kamu akan meninggal dunia, ketika hendak berwasiat, ialah dua orang yang adil diantara kamu atau dua orang yang lain yang bukan seagama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi, lalu kamu ditimpa malapetaka maut. Jika kamu bimbang terhadap kedua orang yang bukan Islam itu, maka kamu tahan keduanya sesudah solat, lalu keduanya bersumpah dengan Allah : Kami tiada mengambil wang untuk berdusta menjadi saksi ini, meskipun terhadap karib-kerabat dan kami tiada menyembunyikan kesaksian Allah , jika kami berbuat demikian, niscaya kami termasuk orang-orang berdosa.

107. Kalau diketahui, bahawa keduanya itu berdosa, maka hendaklah berdiri dua orang menggantikannya diantara orang-orang yang berhak yang terdekat, lalu keduanya bersumpah dengan Allah : Sesungguhnya kesaksian kami lebih benar daripada sumpah keduanya, dan kami tiada melampaui batas, jika kami berbuat demikian, niscaya kami termasuk orang yang zalim.

108. Demikian itu lebih hampir, supaya mereka itu menunaikan kesaksian menurut mestinya, atau supaya mereka itu takut, bahawa akan ditolak sumpah mereka dengan sumpah ahli waris. Takutlah kamu kepada Allah dan dengarlah. Allah tiada menunjuki kaum yang fasik.

109. Pada hari Allah menghimpunkan rasul-rasul lalu Dia berfirman : Adaka seruan kamu diperkenankan orang ? Berkata rasul-rasul itu : Tidak adalah pengetahuan kami. Sesungguhnya Engkau Mahamengetahui yang ghaib-gaib.

110. Ingatlah ketika Allah berfirman : Hai Isa anak Maryam, ingatlah akan nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkan engkau dengan ruh suci, engkau bercakap-cakap dengan manusia dalam buaian dan ketika dewasa ; dan ketika Aku mengajarkan kitab, hikmah, Taurat dan Injil kepadamu, dan ketika engkau perbuat bentuk burung daripada tanah dengan izinKu, kemudian engkau tiup padanya, lalu ia menjadi burung dengan izinku ; dan engkau sembuhkan orang yang buta dan orang kena penyakit kusta dengan izinku ; dan ketika engkau keluarkan orang mati dengan izinku ; dan ketika Aku tahan bani Israil hendak membunuhmu, ketika engkau memberikan keterangan kepada mereka , lalu berkata orang yang kafir diantara mereka : Ini tidak lain, hanya sihir yang terang.

surat Al-Maidah

Monday, July 13, 2009

Haiwan-Haiwan Yang Diberi Kalung

91. Sesungguhnya syaitan menghendaki, supaya menjatuhkan kamu dalam permusuhan dan berbenci-bencian sesama kamu, kerana arak dan berjudi, serta menghalangi kamu daripada mengingat Allah dan solat. Adakah kamu berhenti ?

92. Ikutlah Allah dan ikutlah rasul dan waspadalah.Jika kamu berpaling, ketahui, bahawa sesungguhnya kewajipan rasul Kami, hanya menyampaikan dengan terang.

93. Tiada berdosa orang-orang yang beriman dan mengerjakan yang baik-baik, kerana mereka telah meminum arak, jika mereka bertakwa dan beriman, kemudian bertakwa dan berbuat kebaikan. Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.

94. Hai orang-orang yang beriman, Demi, sesungguhnya Allah akan mencubai kamu dengan sesuatu, iaitu buruan yang dapat ditangkap oleh tangan dan lembingmu, supaya Allah mengetahui orang yang takut kepadanya dengan yang ghaib. Barang siapa yang aniaya sesudah itu, maka baginya siksaan yang pedih.

95. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu bunuh buruan, sedang kamu tengah ihram. Barang siapa yang membunuhnya diantara kamu dengan sengaja, maka balasannya seekor haiwan ternak yang serupa dengan binatang yang terbunuh itu, menurut ketetapan dua orang yang adil diantara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan kepada kaabah, atau kifaratnya memberi makanan kepada beberapa orang miskin atau puasa beberapa hari sebanyak bilangan orang-orang miskin itu, supaya dia merasai bahaya perbuatannya itu. Allah telah memaafkan daripada yang telah lalu itu. Barang siapa yang kembali, maka Allah akan menyiksanya. Allah Mahaperkasa lagi Mempunyai siksaan.

96. Dihalalkan bagimu buruan laut dan makanannya sebagai kesenangan bagimu dan bagi orang-orang yang berjalan. Diharamkan atas kamu buruan darat, selama kamu dalam ihram. Takutlah kepada Allah yang kamu akan dihimpunkan kepadaNya.

97. Allah mengadakan Kaabah, Baitul Haram untuk kemuslihatan bagi manusia ; dan juga bulan suci, hadiah dan haiwan-haiwan yang diberi kalung. Demikian itu, supaya kamu ketahui, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa yang dilangit dan apa-apa yang dibumi dan sesungguhnya Allah Mahamengetahui tiap-tiap sesuatu.

98. Ketahuilah olehmu, bahawa sesungguhnya Allah sangat keras siksaanNya, dan bahawa sesunguhnya Allah Pengampun lagi Penyayang.

99. Tiadalah kewajipan rasul, melainkan menyampaikan. Allah mengetahui apa-apa yang kamu lahirkan dan apa-apa yang kamu sembunyikan.

100. Katakanlah : Tiada sama yang keji dengan yang baik, meskipun kebanyakan yang keji itu menarik hatimu. Sebab itu takutlah kepada Allah, hai orang-orang yang berakal, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.

surat Al-Maidah

Sunday, July 12, 2009

Makanlah Yang Halal Lagi Baik

81. Kalau mereka beriman kepada Allah dan nabi dan apa-apa yang diturunkan kepadanya, niscaya tiadalah mereka mengangkat orang-orang kafir jadi wali, tetapi kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.

82. Demi, sesungguhnya engkau peroleh manusia yang sangat memusuhi orang-orang yang beriman, ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Demi, sesungguhnya engkau peroleh orang-orang yang lebih dekat kasih sayangnya kepada orang-orang beriman , ialah orang-orang yang berkata : Sesungguhnya kami orang Nasrani. Demikian itu kerana diantara mereka ada alim ulama dan pendeta-pendeta, sedang mereka itu tiada sombong.

83. Apabila mereka mendengar yang diturunkan kepada rasul, engkau lihat air mata mereka bercucuran, kerana mereka mengetahui kebenaran itu, lalu mereka berkata : Ya Tuhan kami, kami telah beriman, sebab itu tuliskanlah kami berserta orang-orang yang syahid.

84. Mengapakah kami takkan beriman kepada Allah dan kebenaran yang telah datang kepada kami dan kami harap, Tuhan kami akan memasukkan kami bersama kaum yang salih.

85. Lalu Allah membalasi mereka , kerana perbuatannya itu dengan syurga yang mengalir air sungai dibawahnya, serta kekal didalamnya. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.

86. Orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.

87. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan yang baik-baik, yang telah dihalalkan Allah bagimu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang melanggar batas.

88. Makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang dikurniakan Allah kepadamu dan takutlah kepada Allah yang kamu telah beriman kepadaNya.

89. Allah tiada menyiksamu, kerana sumpah yang tiada kamu sengaja, tetapi Dia menyiksamu, kerana sumpah yang kamu sengaja. Maka kifaratnya, memberi makan kepada sepuluh orang miskin, dari makanan yang biasa dimakan oleh keluargamu atau memberikan pakaian kepada mereka , ataupun memerdekakan seorang hamba. Barang siapa yang tiada memperoleh, hendaklah dia berpuasa tiga hari lamanya. Itulah kifarat sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, mudah-mudahan kamu berterima kasih.

90. Hai orang-orang beriman , sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung , adalah keji daripada perbuatan syaitan. Sebab itu hendaklah kamu jauhi, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

surat Al-Maidah

Saturday, July 11, 2009

Buta dan Tuli

71. Mereka mengira, bahawa takkan ada siksa, sebab itu mereka buta dan tuli,kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian kebanyakan mereka menjadi buta dan tuli lagi. Allah Mahamelihat apa-apa yang mereka kerjakan.

72. Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : " Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih anak Maryam ". Sedangkan Al- Masih berkata : " Hai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Sesungguhnya siapa mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan syurga baginya dan tempat tinggalnya dalam neraka; dan tidak adalah penolong bagi orang-orang zalim".

73. Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : Sesungguhnya Allah, yang ketiga dari tiga. Padahal tak adalah Tuhan, kecuali Tuhan yang Esa.Jika mereka tiada berhenti dari perkataan mereka itu, niscaya mereka yang kafir itu akan disiksa dengan siksaan yang pedih.

74. Apa tidakkah mereka taubat kepada Allah dan meminta ampun kepadaNya ? Allah Pengampun lagi Penyayang.

75. Al-Masih anak Maryam tidak lain, hanya seorang rasul, sesungguhnya telah terdahulu beberapa orang rasul sebelumnya, sedang ibunya seorang perempuan yang benar. Keduanya memakan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami menerangkan kepada mereka beberapa tanda, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling.

76. Katakanlah : Adakah berhak kamu sembah, selain daripada Allah sesuatu yang tiada berkuasa memberi melarat kepadamu dan tiada pula memberi manfaat ? Allah Mahamendengar, lagi Mahamengetahui.

77. Katakanlah : Hai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agamamu selain dari kebenaran dan janganlah kamu turut hawa nafsu kaum yang telah sesat sebelum itu dan menyesatkan kebanyakan dan mereka telah sesat dari jalan yang lurus.

78. Telah dikutuki orang-orang yang kafir diantara Bani Israil diatas lidah Daud dan Isa anak Maryam. Demikianlah itu disebabkan mereka derhaka dan aniaya.

79. Mereka tiada melarang suatu yang mungkar yang mereka perbuat. Sungguh amat jahat apa yang mereka perbuat.

80. Engkau lihat kebanyakan mereka mengangkat orang-orang kafir jadi wali. Sungguh amat jahat apa yang mereka kerjakan untuk diri mereka, iaitu amarah Allah kepada mereka, sedang mereka itu kekal dalam siksaan.

surat Al-Maidah

Friday, July 10, 2009

Tangan Allah Terbelenggu

61. Apabila datang mereka kepadamu, mereka berkata : " Kami telah beriman ", padahal mereka masuk dengan kekafiran dan mereka keluar dengan kekafiran pula, Allah lebih mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan.

62. Engkau lihat kebanyakan mereka amat bersegera berbuat dosa dan aniaya dan memakan harta yang haram. Sesungguhnya amat jahat apa yang telah mereka kerjakan.

63. Mengapakah mereka itu tiada dilarang oleh alim ulama dan pendeta-pendeta daripada mengatakan dosa dan memakan yang haram ? Sungguh amat jahat apa yang mereka usahakan.

64. Berkata orang-orang Yahudi : Tangan Allah terbelenggu. Tangan mereka itulah yang terbelenggu dan mereka dikutuki, kerana perkataannya itu. Bahkan kedua tangan Allah terbuka. Dia memberikan rezeki bagaimana dikehendakiNya. Demi, kebanyakan mereka bertambah kederhakaan dan kekafirannya, kerana yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Kami adakan antara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat. Tiap-tiap mereka menyalakan api peperangan, lalu Allah memadami api itu dan mereka berusaha dimuka bumi membuat kebinasaan. Allah tiada mengasihi orang-orang yang membuat kebinasaan itu.

65. Kalau sekiranya orang-orang ahli kitab beriman dan bertakwa, niscaya Kami tutup kesalahan mereka dan Kami masukkan mereka kedalam syurga kenikmatan.

66. Kalau sekiranya mereka mengikut Taurat dan Injil dan apa-apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, niscaya mereka memakan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Diantara mereka itu ada umat yang pertengahan, tetapi kebanyakan mereka amat jahat perbuatannya.

67. Hai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Jika engkau tiada perbuat, niscaya belumlah engkau menyampaikan risalahNya. Allah akan memeliharakanmu daripada manusia. Sesungguhnya Allah tiada menunjuki kaum yang kafir.

68. Katakanlah : Hai ahli kitab, kamu bukan atas suatu, kecuali jika kamu turut Taurat dan Injil dan apa-apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Demi, kebanyakan mereka bertambah kederhakaan dan kekafirannya, kerana yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Sebab itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir.

69. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan Shabiin dan orang-orang Nasrani, barang siapa yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari yang kemudian, serta mengerjakan yang baik-baik, niscaya tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tiada mereka berdukacita.

70. Sesungguhnya telah Kami ambil perjanjian Bani Israil dan telah Kami utus kepada mereka beberapa orang rasul. Tiap-tiap rasul datang kepada mereka dengan suatu yang tiada diingini oleh hawa nafsunya, segolongan mereka dustakan dan segolongan mereka bunuh.

surat Al-Maidah